Cuti 80 peratus anggota bomba dibeku hadapi banjir - Utusan Malaysia

Cuti 80 peratus anggota bomba dibeku hadapi banjir

ISMAIL Abd. Muttalib (tengah) berkomunikasi secara dalam talian dengan pemenang Kejohanan Catur Piala Ahli Parlimen Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Sebanyak 80 peratus daripada 15,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara dibekukan cuti mereka bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, perkhidmatan anggota JBPM diperlukan dalam melakukan kerja-kerja seperti persiapan dari segi logistik, latihan menyelamat musim banjir dan pemantauan kawasan berisiko.

“Kerajaan yakin dengan keupayaan dan kepakaran anggota bomba dan bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat jika berlakunya banjir ekoran musim tengkujuh. 

“Anggota JBPM akan berganding bahu dengan pasukan barisan hadapan yang lain seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Kejohanan Catur Piala Ahli Parlimen Maran di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd. Sofian Abdul Jalil; Penasihat Persatuan Catur Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Presiden Persatuan Catur Pahang, Hamidah Abdul Hamid dan Ketua Polis Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman.

Pertandingan secara dalam talian itu disertai 1,843 orang membabitkan 100 pasukan dari Malaysia, Indonesia, Argentina, Brunei dan Filipina.

Ismail berkata, selain persiapan fizikal, setiap balai bomba telah menjalankan latihan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Begitu juga persediaan dari segi peralatan yang mana seluruh balai bomba negeri telah membuat semakan dan ujian terhadap semua peralatan serta logistik bagi menghadapi kemungkinan banjir.

“Antara peralatan diperlukan ialah jentera logistik termasuk bot aluminium yang telah bersedia digunakan dalam semua keadaan,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk terutama di negeri-negeri berisiko supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir sebagai mana kelaziman di hujung tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya