Cukai RM1.74b: Rayuan Najib, dua anak didengar Disember - Utusan Malaysia

Cukai RM1.74b: Rayuan Najib, dua anak didengar Disember

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dua anaknya berhubung pembayaran cukai pendapatan tertunggak berjumlah lebih RM1.74 bilion akan disebut di Mahkamah Rayuan, 16 Disember ini.

Rayuan yang difailkan secara berasingan itu akan disebut di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohd. Khairi Haron secara e-review.

Pada 22 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus menuntut tunggakan cukai pendapatan tambahan RM1.69 bilion daripada Ahli Parlimen Pekan itu.

Hakim Datuk Ahmad Bache ketika membacakan penghakimannya menyatakan tunggakan cukai pendapatan tambahan Najib, 67, dari tahun 2011 hingga 2017 termasuk penalti sebanyak RM1.69 bilion yang merupakan hutang kepada negara yang perlu dibayar.

Penghakiman terus ialah keputusan yang dibuat oleh mahkamah berdasarkan hujahan bertulis dan lisan pihak-pihak yang terlibat tanpa perbicaraan penuh dibuat dan saksi-saksi dipanggil memberi keterangan.

Kira-kira dua minggu sebelum itu, di Mahkamah Tinggi di sini, anak Najib, Datuk Mohd. Nazifuddin, 35, dikehendaki membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta cukai kepada LHDN. Keputusan itu juga dibuat melalui penghakiman terus.

Pada 25 September lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan anak sulung Najib, Datuk Nizar Najib untuk membayar cukai pendapatan tertunggak sebanyak RM13.16 juta kepada LHDN.

Menurut penghakiman penuh Pesuruhjaya Kehakiman Julie Lack Abdullah yang dikeluarkan semalam, mahkamah membenarkan permohonan untuk mendapatkan penghakiman terus itu selepas mendapati tiada isu yang boleh dibicarakan kerana tuntutan LHDN tidak terikat dengan tempoh waktu.

Tambah Julie, mana-mana individu yang ‘berhutang’ dengan LHDN perlu membayar jumlah tunggakan tersebut sebelum mengemukakan rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN