IPOH: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Arena Badminton Perak di sini buka mulai hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini.
Menurut Noor Hisham, PKRC itu akan menempatkan 160 katil, masing-masing bagi menempatkan 80 pesakit lelaki dan 80 pesakit wanita.
Beliau berkata, pusat rawatan itu akan memberi tumpuan dalam merawat pesakit yang berada pada tahap satu dan dua.
“Usaha ini sudah pasti akan membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung di hospital.
“Ketika kami melakukan yang terbaik untuk mengawal Covid-19, kami tahu bahawa kami harus terus mencuba yang terbaik dalam memberikan rawatan kepada pesakit bukan Covid-19 juga.
“Kami berterima kasih kepada semua kakitangan dan menghargai semua kerjasama yang diberikan kementerian-kementerian dan agensi lain,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Perak telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengaktifkan dua PKRC iaitu satu di Ipoh dan selatan negeri ini.
Menurut Ahmad Faizal, pusat rawatan berkenaan diwujudkan bagi menempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah yang tidak mempunyai gejala untuk menjalani rawatan susulan-UTUSAN ONLINE