GEORGETOWN: Semua kerajaan negeri disaran bersikap profesional dan tidak menuding jari menyalahkan negeri jiran sekiranya terdapat kes-kes positif Covid-19 di negeri masing-masing.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemimpin Pulau Pinang tidak pernah menyalahkan negeri-negeri jiran jika berlaku kes Covid-19 di negeri itu yang berpunca daripada kluster di negeri lain.
“Saya terima makluman daripada Jabatan Kesihatan negeri berhubung dakwaan kes daripada Pulau Pinang dibawa masuk ke negeri lain.
“Usahlah kita menuding jari dengan menyalahkan negeri jiran kerana sikap tidak profesional tidak membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor yang dilaporkan berkata, terdapat 77 kes Covid-19 yang dikesan daripada Kluster Bayan, Permatang, Intan dan Alma di Pulau Pinang membabitkan pekerja kilang yang pulang ke kampung mereka di Kedah.
Muhammad Sanusi berkata, selepas Kedah berjaya mengawal penularan beberapa kluster seperti Telaga dan Sungai, kini negeri itu perlu berdepan kluster yang dibawa dari negeri berhampiran pula.
Menurut Kon Yeow, daripada laporan Jabatan Kesihatan negeri, hanya terdapat 13 kes positif Covid-19 membabitkan mereka yang terlibat dengan Kluster Bayan iaitu enam kes di Kedah dan tujuh kes di Perak.
“Kita tidak tahu dari mana dakwaan bahawa 77 kes positif Covid-19 di Kedah membabitkan mereka yang bekerja di Pulau Pinang dan kemudiannya pulang ke Kedah.
“Memang ada orang Kedah dan Perak yang bekerja di kilang-kilang di sini, tetapi angka yang dijangkiti hanya 13 sahaja,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal dekat sini mungkin terpaksa disambung selepas 18 November ini sekiranya kes jangkitan Covid-19 terus dikesan di lokasi berkenaan.
“Penilaian risiko akan dijalankan oleh Jabatan Kesihatan dari semasa ke semasa dan keputusan akhir tertakluk kepada Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – UTUSAN