Covid-19 : 1,778 dikuarantin di Terengganu pada gelombang kedua - Utusan Malaysia

Covid-19 : 1,778 dikuarantin di Terengganu pada gelombang kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 1,778 individu bawah pengawasan (PUS) dimasukkan ke empat pusat kuarantin di negeri ini dalam tempoh gelombang kedua Covid-19 dari 26 September hingga 18 November lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 1,602 individu telah discaj manakala 176 lagi masih dikuarantin bagi tujuan pengawasan dan pemerhatian. 

“Daripada kesemua yang dikenakan perintah kuarantin itu, seramai 1,509 individu dipercayai mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 manakala 73 merupakan pengembara dari zon merah atau kuning, pelaut (12), anggota kesihatan (66) dan peneman (118).

“Individu dikuarantin akan dinilai pada setiap hari oleh petugas kesihatan bagi memantau status kesihatan mereka sekiranya mengalami gejala Covid-19 termasuk dipindahkan ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nor Azimi, pelaksanaan perintah pengawasan dan pemerhatian terhadap individu di pusat kuarantin secara tidak langsung dapat mengawal penularan Covid-19 dalam komuniti.

Sementara itu, katanya, sepanjang gelombang kedua Covid-19 kesemua empat pusat kuarantin yang aktif ialah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) di samping Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur Wakaf Tapai yang masing-masing di Marang serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di Batu Rakit, Kuala Nerus dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Besut.

Bagaimanapun, katanya, dua pusat kuarantin yang ditutup iaitu Pusat Latihan dan Pembangunan  Pengembangan (PLPP) di Besut serta Darul Iman Training Center (DITC), Kemaman kini diletakkan dalam keadaan bersiap-siaga dan boleh diaktifkan bila-bila masa.

“Jabatan Kesihatan negeri bersedia mengaktifkan semula pusat kuarantin sekiranya ada kemasukan PUS yang memerlukan pengawasan dan pemerhatian.

“Kesemua enam pusat kuarantin itu beroperasi dengan kapasiti kira-kira 468 bilik di samping mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan beberapa agensi terlibat,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya