Cop Palsu: 46 individu termasuk 27 pegawai JIM ditahan - Utusan Malaysia

Cop Palsu: 46 individu termasuk 27 pegawai JIM ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara tumpas selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan aktiviti tersebut menerusi operasi besar-besaran bermula lewat petang semalam.

Operasi khas dinamakan Op Selat itu adalah ‘sting operation’ yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hasil risikan dan pemantauan selama 6 bulan di pintu masuk dan keluar utama negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru.

Menurut sumber, menerusi operasi yang dilancarkan semalam, seramai 46 orang ditangkap di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 27 pegawai Imigresen, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah.

“Kesemua mereka yang diberkas berusia antara 21 hingga 46 tahun dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching bagi perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, hasil siasatan SPRM mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti mereka sejak setahun lalu dan berada di bawah radar pemantauan agensi itu bermulanya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19, 18 Mac lalu.

Jelas sumber, aktiviti rasuah dalam kalangan anggota sindiket menjadi lebih rancak sepanjang PKP dikuatkuasakan dan mereka ini menumpukan pekerja asing dan pekerja tanpa izin yang terkandas di negara ini akibat PKP.

“Mereka mengambil kesempatan susulan banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke negara asal mereka,” katanya.

“Ini adalah isu kebocoran pintu negara yang serius. SPRM amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Ketua Pengarah JIM dalam pertukaran maklumat berhubung sindiket ini,” katanya.

Sementara itu Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan menjelaskan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya