GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengehadkan bilangan lesen yang dikeluarkan bagi kedai yang dibenarkan untuk menjual alkohol.
Presidennya, Mohideen Abd. Kader berkata, langkah itu sebagai sokongan kepada keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengharamkan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur berkuat kuasa 30 September 2021.
Menurut beliau, CAP tetap dengan pendirian penjualan alkohol perlu dikawal dengan lebih ketat kerana menyebabkan begitu banyak kesengsaraan kepada ramai orang di seluruh dunia.
Apatah lagi, jelasnya, alkohol turut dikategorikan dalam kumpulan dadah psikoaktif yang sama seperti kokain, lysegic acid diethylamide (LSD), nikotin dan ganja sekali gus boleh disifatkan berbahaya.
“Kita juga berharap siasatan awam dapat dilakukan sekiranya seseorang memohon mendapatkan lesen alkohol dan jiran kedai yang dicadangkan perlu diberikan notis untuk melihat sama ada mereka bersetuju dengan cadangan itu atau sebaliknya.
“Dalam masa sama, denda kepada kedai yang melanggar undang-undang dengan menjual alkohol juga perlu dinaikkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Dalam masa sama, Mohideen menggesa kerajaan megharamkan meminum minuman keras di tempat awam sama seperti dilakukan kerajaan Singapura yang mengenakan denda sehingga RM30,000 bagi kesalahan itu.
Ini kerana, jelas beliau, ketika ini tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana individu mengambil minuman keras di tempat awam seperti taman, taman permainan, dan pantai sehingga memabukkan yang boleh menyebabkan gangguan dan kekacauan. -UTUSAN ONLINE