Cabaran Nur Khaira belajar atas talian di pusat pemindahan banjir - Utusan Malaysia

Cabaran Nur Khaira belajar atas talian di pusat pemindahan banjir

MANGSA banjir, Nur Khaira Mohd. Yunos (tiga dari kiri) dan Nur Hanissa Haziz (dua dari kanan) sambil ditemani ibu masing-masing mengikuti kelas secara atas talian dan mengulang kaji pelajaran di PPS SK Tehel, Bemban di Jasin. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir yang melanda kediaman bukan pematah semangat untuk mengikuti kelas secara atas talian yang sudah pun bermula sejak Covid-19 lalu.

Walaupun berdepan masalah liputan yang kurang memuaskan, Nur Khaira Mohd. Yusof, 21, pelajar tahun pertama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tetap cekal meneruskan sesi kuliah bersama pensyarah dan rakan sekelas lain.

Ujar anak bongsu daripada 10 beradik itu, jika di rumah dia boleh menggunakan komputer riba sendiri yang dilengkapi kemudahan internet, namun ketika di PPS dia terpaksa menggunakan telefon bimbit kerana data rangkaian yang terhad.

“Sebelum ini belajar atas talian sudah memberi pengalaman baru kepada saya, tetapi kali ini terpaksa pula mengikuti kelas di pusat pemindahan yang saya tidak pernah terfikir langsung akan laluinya.

“Selain sukar sedikit kerana masalah liputan yang kadang-kadang terputus, suasana di pusat pemindahan yang ramai antara cabaran yang terpaksa saya tempuhi,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di sini hari ini.

Nur Khaira yang merupakan penuntut jurusan Pengajian Bahasa Gunaan Bahasa Melayu Komunikasi merupakan antara 125 mangsa daripada 30 keluarga yang berada di PPS tersebut sejak Jumaat.

Sementara itu, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bemban, Nur Hanissa Haziz, 17, berkata, masalah liputan yang kurang memuaskan kadang-kala menyukarkan dia mendengar apa yang diajar oleh gurunya.     

“Saya terpaksa merujuk semula dengan rakan-rakan lain sekiranya kurang faham dengan apa yang cikgu ajar, memang susah sebenarnya nak fokus 100 peratus kerana banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi,” katanya.

Ujarnya lagi, dia juga perlu mencari tempat yang kurang orang di sekitar sekolah supaya tidak terganggu dengan bunyi bising di pusat pemindahan tersebut.

Katanya lagi, dia perlu mengikuti kelas secara atas talian setiap Isnin hingga Jumaat bermula seawal pukul 8 pagi sehingga 9.30 pagi sebelum bersambung semula pada pukul 11 hingga 1 tengah hari.

Ibu Nur Hanissa, Norita Abdul Aziz, 42, yang memahami cabaran terpaksa dihadapi anaknya itu sering memberikan sokongan moral terutama sekali pada hari pertama anaknya belajar di PPS.

“Kami mula berpindah sejak Jumaat, hari ini hari pertama anak saya mengikuti kelas secara atas talian di PPS memang saya tengok cabarannya berlainan berbanding di rumah sendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya