PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan ada sebuah pesawat ringan melakukan pendaratan kecemasan di lebuh raya PLUS hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo, pesawat jenis Beechcraft Model 35 Bonanza itu dikesan mendarat di laluan tersebut dekat Sedenak, Johor.
“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Johor menerima panggilan pada pukul 10.40 pagi dari juruterbang memohon berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pesawat persendirian itu dikatakan menghadapi masalah teknikal dan dikendalikan oleh Premier Air Singapore yang dalam penerbangan dari Senai, Johor Bahru ke Melaka.
Dua juruterbang warganagera Singapura dilaporkan berada dalam keadaan stabil manakala pesawat itu kemudian dipindahkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu lintas di lebuh raya.
“Pasukan mencari dan menyelamat telah menyelesaikan semua tugas diperlukan. Siasatan akan dilakukan Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow turut mengesahkan pesawat tersebut mendarat cemas di Kilometer 47.9 lebuh raya PLUS arah selatan.
Pesawat nombor pendaftaran N5045B itu ujarnya bukan terhempas, namun belum ada maklumat lanjut mengapa kapal terbang itu memilih untuk mendarat di atas laluan berkenaan. -UTUSAN ONLINE