PUTRAJAYA: Sokongan semua ahli Parlimen sehingga Belanjawan 2021 diluluskan membuktikan kematangan mereka dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan sokongan itu membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar.
Kata Perdana Menteri, ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
“Saya tersentuh dengan pendirian Ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini sekali gus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu ahli-ahli politik mengetepikan sementara politiking bagi membolehkan belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen terutamanya ahli-ahli Parlimen PN, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri pada masa sama mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementeriannya yang bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau menjelaskan, penambahbaikan itu mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan.
“Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara,” katanya.