Buat laporan polis palsu kehilangan kad pengenalan - Utusan Malaysia

Buat laporan polis palsu kehilangan kad pengenalan

MUHAMMAD YAZID MUHAMMAD YEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Segelintir orang awam sanggup tampil membuat laporan polis palsu semata-mata mahu mengelak dikenakan denda kerana kehilangan kad pengenalan.

Tindakan itu sekaligus menjadi punca utama peningkatan mendadak kes laporan palsu di negeri ini.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima sebanyak 72 kes  berbanding hanya 21 kes pada tahun lalu.

“Berdasarkan statistik sehingga semalam, 57 daripada laporan palsu ini dibuat berkaitan kes samun diikuti kemalangan (10), curi (3) dan masing-masing satu culik dan tarik kenderaan.

“Jumlah ini termasuk lima kes terbaharu yang diterima pada minggu ini sekali gus menunjukkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Oleh demikian, beliau memberi amaran tegas kepada semua pihak supaya tidak sesekali melakukan kesalahan berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Laporan palsu seumpama ini jelas mengganggu tugas pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam penugasan Op Covid-19.

“Pesalah boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Untuk rekod, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menetapkan kadar bayaran denda yang akan dikenakan kepada individu warga negara Malaysia yang kehilangan Mykad atas kecuaian sendiri.

Bayaran bagi kehilangan kes kecuaian sendiri kali pertama adalah pada kadar RM100, manakala kehilangan kali kedua RM300 dan bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya RM1,000 dan semuanya tidak termasuk dengan bayaran permohonan.

Bagaimanapun, pengecualian kadar bayaran diberikan kepada orang kurang upaya, fakir miskin, warga emas berusia 60 tahun ke atas, mangsa bencana, kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut serta remaja warga negara berusia bawah 18 tahun.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Yazid berkata, polis menerima sebanyak 58 kes penipuan e-commerce melibatkan kerugian bernilai RM524,446 dalam tempoh sebulan.

“Sepanjang tempoh 14 Oktober lalu sehingga semalam, kes yang dilaporkan antaranya berkaitan penipuan pembelian barang elektronik secara atas talian.

“Masyarakat dinasihatkan berwaspada membuat sebarang pembelian dengan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkaitan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya