PORT DICKSON: Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan teknik ‘meranduk’ atau mengharung air dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri lemas di Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang, dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, teknik itu dilihat efektif disebabkan mangsa dikhuatiri lemas berdekatan kelong atau tempat pembiakan tiram.
“Selepas pencarian petang semalam gagal, petang ini kami akan menggunakan teknik ‘meranduk’ bagi mencari mangsa lemas yang dikatakan tersangkut di lokasi berhampiran kelong apabila air laut surut.
“Kami telah membahagikan empat sektor pencarian yang meliputi lebih kurang dua batu nautika dan di lokasi terakhir mangsa terjatuh,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi pencarian di jeti nelayan Sungai Sekawang, Pasir Panjang dekat sini.
Semalam, Muhammad Azri Abdullah, 25, dipercayai lemas selepas hilang dipercayai dibawa arus dan air pasang ketika cuba mengharungi air laut untuk memancing dari pantai ke Pulau Asam sejauh sekitar 70 meter dari pengkalan nelayan tersebut.
Sementara itu, menurut Ahmad Mukhlis, seramai 35 orang anggota dan pegawai termasuk 20 penyelam terbabit dalam operasi SAR melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Teluk Kemang, Balai Bomba Port Dickson dan Balai Bomba Seri Jempol.
“Kami juga telah menggunakan aset iaitu dua bot dan dua buah kayak bagi membantu mempercepatkan operasi menyelamat di lokasi terakhir mangsa terjatuh semalam.
“Kami akan meneruskan operasi pada pukul 2 ini menggunakan teknik ‘meranduk’ meliputi kawasan 600 meter pesisiran pantai hingga ke tengah laut. Manakala penyelam akan mencari di kawasan berdekatan lokasi pembiakan tiram dan kelong,” katanya.
Operasi SAR tersebut turut melibatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), tentera laut dan polis. -UTUSAN ONLINE