KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk Barisan Nasional (BN) menyerlahkan kepemimpinannya bukan sahaja bersandarkan kepada satu kaum sebaliknya meletakkan aspek kepelbagaian sebagai keutamaan yang merupakan asas kekuatan sesuatu parti politik.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apa yang penting adalah parti itu harus memahami perasaan peringkat akar umbi selain menunjukkan keikhlasan serta ketegasan dalam pemerintahan kerana pada akhirnya, rakyat akan menentukan jatuh atau bangunnya sesebuah kerajaan.
“Kita perlu beri keutamaan dan menjaga hubungan dalam peringkat akar umbi sebelum kita memikirkan hubungan dengan pihak lain.
“Sebagai parti dan pemimpin politik, nasib kita akan ditentukan dalam keadaan kita memahami atau tidak aspirasi dan harapan peringkat akar umbi. Kalau tidak, tidak lamalah kita memerintah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan hasil perbincangan yang diadakan selama hampir empat jam bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa pemimpin politik lain.
Petang tadi, Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN bersama menteri-menteri BN. Mesyuarat yang akan dijalankan setiap dua minggu bermula malam ini membincangkan mengenai dasar-dasar kerajaan yang boleh memberikan input dari parti kepada menteri BN selain sokongan bersyarat untuk meluluskan Belanjawan 2021 Khamis ini di Dewan Rakyat.
BN sebelum ini menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran secara one-off sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium.
Mengulas lanjut, Menteri Luar Negeri itu berkata, dalam keadaan lanskap politik yang tidak menentu ketika ini, BN masih mengekalkan semangat kekeluargaan bersama parti-parti komponennya sekaligus menunjukkan bahawa gabungan politik itu masih relevan di mata rakyat.
“Inilah yang saya nampak dalam gabungan ini iaitu persefahaman, keikhlasan dan kejujuran sesama kita yang jelasnya satu petanda yang baik.
“Walaupun kita terpaksa mengharungi situasi yang penuh dengan kemungkinan, tetapi asalkan kita berada dalam satu barisan dan hala tuju yang sama, ia menunjukkan satu perjalanan yang jelas dan difahami.
“Kita boleh berbeza pendapat tetapi akhirnya kita harus meletakkan kepentingan parti bersandarkan kepada apa yang terbaik untuk rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE