BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) berharap semua pihak memberi peluang kepada parti itu khususnya dari UMNO mengekalkan kerusi Parlimen Gerik tanpa ada pertandingan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang dijadualkan pada 12 Januari depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia kerana situasi wabak Covid-19 yang masih merebak di negara ini selain perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat jika PRK diadakan.
Menurutnya, apatah lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Parlimen Gerik hanya ditandingi calon BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.
“Jadi saya harap atas nama Muafakat Nasional (MN) dan dokongan kita kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), kedua-dua parti itu tidak akan menyaingi calon UMNO yang akan mewakili BN.
“Namun, jika ada calon-calon lain seperti Bebas dan calon parti lain yang berhasrat untuk bertanding, saya harap dalam keadaan begini dengan SOP yang ketat, maka paling molek kita tak ada calon yang menawarkan diri maka beri peluang terus kepada calon BN memberikan kesinambungan khidmat bakti yang dibuat Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (bekas Ahli Parlimen Gerik).
“Walaupun dalam sistem demokrasi yang harus kita laksanakan, tetapi dalam situasi yang berbeza ini, kita harus memberikan kemenangan dan laluan kepada calon BN dalam PRK ini,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian kepada pemberita selepas program ziarah kasih di beberapa rumah penduduk di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, bagaimanapun, jika ada pertandingan, beliau mahu UMNO Perak memberi keutamaan kepada calon anak tempatan untuk bertanding di situ.
Ditanya kemungkinan PRK Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah tidak diadakan menerusi pengisytiharan darurat sebagaimana Parlimen Batu Sapi, beliau berkata, di Batu Sapi dan Bugaya dalam zon merah namun Bugaya telah diisytiharkan ada PRK.
“Kita tidak jangka Gerik jadi zon merah, jadi harap pengundi jaga SOP dan kekalkan zon hijau,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak semalam yang turut dihadirinya telah melantik Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman sebagai Timbalan Pengerusi badan perhubungan itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Hasbullah.
Katanya, jawatan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak yang dikosongkan Azian diisi oleh Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah manakala Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim, dilantik Pemangku Ketua UMNO bahagian itu.
Mengenai DUN Bugaya, Ahmad Zahid berkata, beliau akan berjumpa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin Isnin ini untuk membincangkan perkara tersebut.-UTUSAN ONLINE