JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu menghapuskan kerenah birokrasi yang menjadi punca utama golongan muda kurang minat dan enggan menceburi sektor pertanian.
Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, cara itu merupakan satu solusi terbaik terhadap masalah kehilangan pekerjaan dan lambakan pengangguran membabitkan kumpulan belia sedangkan sektor tani mampu menjana pulangan pendapatan lebih besar berbanding bidang profesional.
“Jika wujud kombinasi dan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan, maka masalah kehilangan pekerjaan dalam kalangan anak muda dapat diatasi apabila mereka terlibat dalam bertani walaupun pulangan hasil memakan masa.
“Jangan terlalu banyak berteori dan retorik kerana ia membuang masa dan wang ringgit. Pelaksanaan daripada perancangan atau mekanisme mesti disegerakan. Jika tidak, tanggapan lembab dan lambat sentiasa kekal sampai bila-bila,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mazlan memaklumkan penglibatan generasi muda dalam sektor pertanian dilihat masih rendah dan tidak sampai 15 peratus kerana mereka masih beranggapan bahawa pertanian adalah kerja memenatkan dan berpendapatan kecil yang ditanam dalam pemikiran sejak peringkat sekolah.
Katanya, justeru itu usaha melahirkan petani moden berteknologi tinggi harus dimulakan golongan muda dengan mereka perlu meneroka peluang baharu dan berasaskan penyelidikan membabitkan kerjasama kumpulan penyelidik universiti.
“Oleh itu, anak muda perlu merebut peluang dalam Belanjawan 2021 yang banyak menyentuh peruntukan dan inisiatif bidang pertanian. Bagi sektor ini, kita berpeluang untuk merebut peluang yang diumumkan kerajaan.
“Justeru itu masyarakat tani mesti terus bergerak ke hadapan di samping membina rangkaian di seluruh negara. Memahami situasi Covid-19 dan polisi berkaitan yang mesti dipatuhi, namun ia tidak sekali-kali melemahkan kita.
“Sama ada akan memberi pulangan segera, industri tanaman dan kegiatan hiliran secara langsung akan menambah pendapatan dan peluang pekerjaan,” katanya. – UTUSAN