Berniat jahat, fitnah polis - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Berniat jahat, fitnah polis – Ismail Sabri

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penularan video berhubung tindakan pihak polis menahan pemandu kenderaan kerana tidak dibenarkan individu duduk di sebelah pemandu adalah palsu dan disifatkan berniat jahat dan satu fitnah kepada pasukan keselamatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemandu tersebut sebenarnya ditahan atas kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

“Selepas saya menerima video ini, saya terus menghubungi pegawai tertinggi polis Bukit Aman untuk mengesahkan perkara itu dan diberitahu bahawa video itu berniat jahat oleh pemandu tersebut.

“Ia dibuat semata-mata untuk merosakkan nama pihak polis. Tindakan saman bukan kerana tidak patuh prosedur operasi standard  (SOP) dalam kenderaan apabila isterinya duduk sebelah, tetapi dia menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Namun seolah-olah mahu menyalahkan pihak polis tidak menggunakan budi bicara dan bertindak kejam,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Ismail Sabri, arahan yang dikeluarkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah dijelaskan beberapa kali bahawa tidak ada larangan untuk duduk di mana-mana tempat dalam satu kenderaan asalkan hanya dua orang dalam satu keluarga.

Katanya, ini termasuk tidak perlu memakai pelitup muka ketika dalam kenderaan kerana melibatkan ahli keluarga yang sama.

“Duduklah di mana-mana pun dalam kenderaan, di depan ke di belakang ke asalkan tidak duduk atas bumbung (sebagaimana jawapan polis di Sabah sebagai satu jenaka).

“Oleh itu saya sudah beritahu pihak polis tentang fitnah seumpama ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana memburukkan imej polis, jadi perlu ambil tindakan tegas kepada pihak yang membuat video itu termasuk yang menyebarkannya,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, isu kos kuarantin yang tidak mampu dibayar oleh individu di Sarawak boleh mengemukakan rayuan untuk dikurangkan atau dikecualikan bayaran kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak. 

Katanya, ini termasuk di Semenanjung juga boleh berbuat demikian dengan membuat rayuan kepada Menteri Kesihatan untuk menggunakan kuasa beliau di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika ada pihak tidak berkemampuan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya