Berhenti salah dan tuding jari- IWK - Utusan Malaysia

Berhenti salah dan tuding jari- IWK

KAKITANGAN Indah Water Selangor sedang melakukan proses pembersihan di loji rawatan air Sungai Selangor di IWK Taman Velox sewaktu tinjauan semalam. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Indah Water Konsortium (IWK) meminta semua pihak berhenti menuding jari atau menyalahkan syarikat itu sebaliknya membawa pelaku ke muka pengadilan. 

Perkara itu dikongsi menerusi akaun rasmi Facebook (FB) IWK yang memaklumkan pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut kenyataan itu, loji-loji rawatan kumbahan IWK hanya boleh merawat sisa kumbahan dan bukannnya sisa haram atau cecair daripada industri yang masuk ke dalam loji.

“Tuduhan tidak berasas ini bukan saja merosakkan reputasi kita, tetapi juga orang-orang kita.

“Berhenti menyalahkan dan menuding jari dan mulai membawa para pelaku ke muka pengadilan,” katanya menerusi dua muat naik status berasingan hari ini.

Terdahulu, IWK menafikan dakwaan syarikat itu menjadi punca pencemaran sehingga mengakibatkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam memaklumkan pembebasan sisa kumbahan dihentikan pada 4 November lalu selepas mengesan sisa buangan haram dibuang dalam sistem pembentungannya.

Menurutnya, LRA yang terjejas terpaksa menghentikan aliran selama beberapa hari bagi mengelak tumpahan ke sistem perairan dan IWK turut melaksanakan rawatan menggunakan enzim bagi meneutralkan proses. 

“Pencemaran itu berpunca daripada sisa dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kita menghentikan pembebasan sisa kumbahan pada 4 November lalu selepas mengesan sisa buangan haram dibuang dalam sistem pembentungan.

“LRA yang terjejas terpaksa menghentikan aliran selama beberapa hari bagi mengelakkan tumpahan ke sistem perairan. Jika ini tidak dilaksanakan segera, kesan lebih buruk kepada alam sekitar akan berlaku,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, pencemaran di Loji Rawatan Kumbahan (LRK) IWK Taman Velox dipercayai telah berlaku sejak seminggu lalu.

Beliau memaklumkan IWK didapati tidak menutup loji sebaliknya masih menerima kumbahan dan sisa buangan bahan kimia berwarna merah seakan-akan bau nangka sejak 4 November lalu namun tidak menutup loji tersebut. 

Sisa buangan itu dikatakan memenuhi sepenuhnya loji IWK dan mereka hanya melaporkan kes tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Terdahulu, seramai enam juta penduduk merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam,Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air bermula 6 petang semalam.

Gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan 1,139,008 akaun berpunca daripada pencemaran bekalan air mentah di Sungai Selangor. -UTUSAN ONLINE

  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN