KUALA LUMPUR: Malaysia buat pertama kali menyelaras belanjawannya sejajar dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi membolehkan rakyat negara ini melangkah ke masa depan yang lebih makmur , lestari inklusif.
Ia susulan keputusan Malaysia menerima agenda 2030 dan matlamat SDG tersebut bersama-sama ahli Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.
Kerajaan dengan kerjasama strategik PBB di Malaysia akan menubuhkan Dana Amanah Malaysia–SDG atau MySDG Trust Fund dengan peruntukan permulaan berjumlah RM20 juta ringgit.
Dana tersebut akan menyediakan platform menyelaras pembiayaan dari pada sumber awam dan swasta dengan lebih sistematik. Dengan itu, pelbagai pihak dapat sama menyumbang dan terlibat dalam melengkapkan dan menentukan SDG tercapai menjelang 2030.
Kerajaan juga memperuntukkan RM5 juta ringgit untuk menyokong program-program SDG yang dilaksanakan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa membentangkan Belanjawan 2021 hari ini. -UTUSAN ONLINE