Belanjawan Johor 2021 bantu orang muda terkesan - Utusan Malaysia

Belanjawan Johor 2021 bantu orang muda terkesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sayap pemuda parti politik negeri ini menyambut baik pembentangan Belanjawan Johor 2021 Khamis lalu yang dilihat berupaya membantu individu terkesan termasuk golongan belia yang terjejas akibat pandemik Covid-19

Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, secara keseluruhannya belanjawan itu dilihat sebagai satu belanjawan yang prihatin dan cakna akan masalah dihadapi rakyat.

“Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada bidang pertanian dan ternakan, ia sekaligus mampu menyuntik semangat pemain industri itu untuk mengembangkan lagi bidang mereka.

“Sementara itu peruntukan sebanyak RM53.7 juta di bawah Agenda Orang Muda Johor pula diyakini dapat meningkatkan lagi keupayaan belia negeri ini berhadapan dengan keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pendapat sama turut disuarakan Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah yang memberitahu, Agenda Orang Muda Johor yang menyaksikan peruntukan terperinci diberi melibatkan pelbagai peringkat usia.

“Ini bermula dari peringkat awal persekolahan, pemerkasaan mahasiswa, Pelan Sekolah Johor, kesukarelawan dan kepimpinan, ekonomi belia serta sukan dan gaya hidup sihat.

“Secara tidak langsung ini menjadi bukti kumpulan orang muda di Johor tidak di pinggir malahan diberi tumpuan oleh kerajaan sedia ada,” ujarnya yang berharap inisiatif berkenaan dapat dimanfaatkan semua pihak.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz pula berkata, belanjawan yang bertemakan ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ itu memperlihat usaha kerajaan menyediakan pelan bagi membantu seramai mungkin rakyat negeri ini.

“Umum tahu ramai masyarakat terkesan dengan pandemik Covid-19 ketika ini, namun belanjawan dibentangkan kerajaan negeri menunjukkan keprihatinan mereka terhadap individu yang terkesan.

“Selaku sebahagian kumpulan yang membawa suara belia di Johor, kami menghargai usaha kerajaan negeri dalam merangka inisiatif yang turut memfokuskan kebajikan belia,” tambahnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya