JOHOR BAHRU : Setelah beberapa bulan menderita penyakit misteri, bekas jurugambar sambilan NSTP, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Johor, Dazar Suarman disahkan menghidapkan kanser perut dan buah pinggang sejak empat bulan lalu.
Lebih menyedihkan, dalam keadaan tersebut, Dazar, 71, terpaksa menjaga isterinya, Rufiah Karsan, 68, yang menderita akibat menghidap kanser payudara sejak 10 tahun lalu di samping dia juga perlu memberi perhatian terhadap anak sulungnya yang kurang upaya (OKU), Sariah, 36, yang mengalami kerencatan akal, pekak dan bisu.
“Sebelum ini, saya sudah membuat pemeriksaan di klinik dan hospital kerajaan namun tidak dapat mengesan apa punca penyakit dialami yang menyebabkan saya tidak dapat tidur dan berehat.
“Setelah mendapati saya menghidap kanser perut dan buah pinggang, saya merasa amat terkesan kerana perlu menjaga isteri dan anak yang memerlukan penjagaan rapi.
“Disebabkan penyakit ini, perbelajaan harian kami sekeluarga meningkat mendadak dan kos perubatan lebih tinggi dari perbelanjaan harian, makan minum kami. Jadi, kami terpaksa berjimat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dazar yang pernah berkhidmat sebagai jurugambar sambilan pada 2000 sehingga 2016 kini bergantung hidup kepada pencennya sebagai pesara polis berjumlah RM1,800 sebulan.
“Setakat ini saya tidak menerima apa-apa bantuan dari Jabatan Kesihatan Masyarakat (JKM) atau pihak lain kerana saya masih belum buat apa-apa permohonan. Segala perbelanjaan, saya gunakan duit saya sendiri, hasil simpanan selama ini. Dalam dua minggu ini, saya belanja lebih RM5,000 bagi menampung kos perubatan sahaja,” katanya.
Terdahulu, Dazar dikunjungi Kelab Media Johor (KMJ) yang tampil menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada bekas ahlinya itu.
Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata, KMJ terpanggil untuk membantu bekas ahli kelab terbabit yang pernah bersama-sama menyumbang bakti dalam bidang kewartawanan.
“Ini merupakan salah satu program KMJ di mana kita meniktikberatkan kebajikan ahli ahli dan juga bekas ahli kelab jadi hari ini saya dan Ahli Jawatankuasa kelab terpanggl untuk ziarah serta memberi sumbangan tunai.
“Apa yang akan kami lalukan seterusnya adalah untuk memaklumkan kepada Polis Diraja Johor (PDRM) Johor berkenaan keadaan saudara kita ini memandangkan dia merupakan bekas anggota PDRM daripada Skuad 69 dan mungkin sedikit bantuan boleh diberikan kepadanya bagi meringankan beban,” katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Dazar di akaun Maybank 1515 9309 3317.- UTUSAN ONLINE