KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim menghembuskan nafas terakhir di usia 78 tahun, pada pukul 3.10 pagi tadi.
Kenyataan itu disahkan isterinya, Datin Bahariah Yusuf menerusi mesej yang dihantar di aplikasi pesanan WhatsApp pagi ini.
“Assalamualaikum WBT. Bagi pihak keluarga, ingin saya maklumkam kepulangan suami tercinta, Datuk Mokhtar Hashim ke rahmatullah.
“Jenazah dimandikan dan solat jenazah dijalankan di Masjid At-Taqwa, Kuala Lumpur,” katanya di sini.
Bahariah bagaimanapun berkata, ia terhad kepada 20 makmum untuk setiap kali solat jenazah namun solat jenazah akan didirikan beberapa kali.
Difahamkan, pengebumian akan dijalankan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
“Mohon bersama-sama kita mendoakan agar roh beliau sentiasa dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Mohktar berpengalaman menerajui beberapa kementerian sebagai Timbalan Menteri Luar pada 1979, Kementerian Pertahanan pada tahun sama dan Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (1975 hingga 1976). – UTUSAN ONLINE