Bekalan air: 85 peratus telah pulih - Utusan Malaysia

Bekalan air: 85 peratus telah pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 1,092 kawasan atau 85 peratus pengguna sudah menerima bekalan air sepenuhnya sehingga pukul 12 tengah tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataannya berkata, setakat ini, hanya 187 kawasan sahaja yang masih tidak mendapat bekalan air daripada gangguan bekalan air tidak berjadual yang bermula sejak Selasa lalu.

“Dua wilayah iaitu Kuala Selangor dan Petaling masing-masing telah pulih 99 peratus bekalan air, diikuti Kuala Lumpur (95 peratus), Hulu Selangor (91 peratus), Kuala Langat (80 peratus), Gombak (65 peratus) dan Klang/ Shah Alam (60 peratus).

“Kita menyarankan para pengguna membiarkan air pili mengalir jernih sebelum digunakan mereka,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Air Selangor menasihati orang awam yang telah menerima bekalan air untuk menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Terdahulu, sehingga pukul 6 pagi tadi, bekalan air di 888 daripada 1,279 kawasan yang terjejas susulan gangguan bekalan air tidak berjadual pulih sepenuhnya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual menjejaskan kira-kira enam juta pengguna iaitu lebih 1.1 juta akaun berikutan empat Loji Rawatan Air (LRA) ditutup kerana berlakunya pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Siasatan mendapati, pencemaran berlaku disebabkan pembuangan sisa industri daripada sebuah premis iaitu stor penyimpanan bahan tersebut di Jalan Velox 2, Rawang dekat sini.

Susulan pencemaran itu, empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya yang mana kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya