Baru jadi Datuk ditahan kes tipu pelaburan Forex   - Utusan Malaysia

Baru jadi Datuk ditahan kes tipu pelaburan Forex  

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan wang tunai yang dirampas daripada tiga ahli sindiket penipuan termasuk lelaki bergelar Datuk dalam sidang akhbar di IPK Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang baharu sahaja menerima darjah gelaran Datuk dari sebuah negeri awal bulan ini merupakan suspek utama sindiket penipuan pelaburan Forex dan mata wang digital.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek itu merupakan antara tiga suspek ditahan polis dalam satu serbuan di Taman Sri Kluang, Kluang, kelmarin. 

Katanya, mereka didakwa mengaut untung ‘atas angin’ dengan memperdayakan mangsa menerusi aktiviti pelaburan Forex dan mata wang digital yang dipercayai berlaku sejak tiga tahun lalu.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini disyaki terlibat memperdayakan orang ramai untuk melabur dalam urus niaga Forex dan mata wang digital dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa singkat. 

“Sasaran mereka adalah pelabur di negara ini termasuk beberapa warga asing seperti dari China, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.

Kata Ayob Khan, dalam serbuan pada pukul 9 malam itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 27 hingga 40 tahun termasuk lelaki bergelar Datuk itu.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas 10 jam tangan berjenama Rolex, dua jam tangan Hublot, enam telefon bimbit pelbagai jenama, 16 kad visa pelbagai bank dan 22 kepingan emas. 

“Turut dirampas ialah wang ringgit Malaysia berjumlah RM2.17 juta, mata wang asing dianggarkan berjumlah RM1.4 juta dan dua buah kereta mewah dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM4.6 juta,” katanya.

Ayob Khan berkata, tiga serbuan dilakukan termasuk di Kuala Lumpur dan Johor Bahru namun kesemua tangkapan dan rampasan dibuat di rumah milik Datuk itu di Kluang.

“Ketiga-tiga suspek yang ditahan tidak dapat menjelaskan punca wang tunai sebanyak itu di rumah berkenaan,” katanya. 

Ayob Khan berkata, pihaknya percaya ramai yang menjadi mangsa penipuan pelaburan berkenaan tapi tidak membuat laporan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pelaburan ini boleh tampil mẹmbuat laporan,” katanya. 

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga esok dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya