Barisan penceramah, personaliti terkenal, konsert maya di MSD 2020 - Utusan Malaysia

Barisan penceramah, personaliti terkenal, konsert maya di MSD 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Barisan penceramah serta personaliti terkenal bakal ditampilkan secara eksklusif menerusi program-program dalam Minggu Saham Digital (MSD) yang merupakan adaptasi digital daripada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang dijalankan setiap tahun.

Program-program berkenaan disiarkan sejak semalam, 18 November hingga 24 November ini bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam menerusi laman Facebook dan saluran YouTube, MSD.

MSD dianjurkan bersama dengan syarikat-syarikat pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang juga merupakan rakan korporat PNB.

Menampilkan persembahan, program hibur didik dan bual bicara yang menarik, MSD dijalankan bertujuan memperkenalkan syarikat-syarikat pelaburan PNB untuk memberi peluang kepada pemegang unit PNB mendapat gambaran bagaimana pelaburan mereka menyumbang kepada kekuatan ekonomi Malaysia.

Di samping itu, ia juga bermatlamat mendidik rakyat Malaysia di semua peringkat usia mengenai kepentingan pelaburan dan perancangan kewangan.

Antara program yang bakal disiarkan sepanjang MSD kepada orang ramai termasuklah konsert maya, Pass The Mic yang menampilkan artis popular seperti Clique, Akim Ahmad, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan Aman Ra.

Mereka yang mengikuti konsert maya terbesar itu antara pukul 8.30 dan 10.30 malam pada 21 November depan berpeluang memenangi Perodua Aruz bernilai RM75,000 dan 10 e-baucar Lazada bernilai RM500 setiap satu.

Program lain yang mula bersiaran termasuklah Cikgu CEO, ASB-Iclif MBA Masterclass Series, Sembang-Sembang ASNB, Makan Dulu, My Cerita, Masak Macam Mak, Jumpa di 118 dan Selesa.

Turut disiarkan ialah Kereta Kita, Betul Ke, Doc?, Lepak Je!, GG Bro! serta Forum Kewangan Syariah.

MSD juga bakal menganjurkan peraduan-peraduan menarik seperti Live Trivia dan Live Trivia Bonanza.

Penonton berpeluang memenangi e-baucar eksklusif dari Lazada bernilai RM46,750 melalui peraduan Live Trivia selama 15 minit pada hari biasa dan Live Trivia Bonanza pada hujung minggu yang berlangsung di Facebook.

 

Eh Mana Kod? pula merupakan pencarian harta karun secara maya. Program itu telah bermula dan akan berlangsung sehingga pukul 11.59 malam pada 30 November ini.

Sepanjang tempoh peraduan, para peserta perlu mengumpulkan sebilangan besar kod tersembunyi yang terdapat dalam semua video yang disiarkan di saluran media sosial MSD dan juga di laman web MSD.

Antara hadiah yang boleh dimenangi ialah Ford Ranger 2.0L XLT Plus 4WD bernilai RM130,000, Toyota Vios 1.5G (RM90,000), Yamaha R25 (RM21,500), Honda Dash 125 S (RM6,000) dan Wang Tunai Raiz (RM250).

Para peserta harus mendaftar sekarang di laman web MSD untuk menjadi antara 2,500 peserta bertuah yang bertanding bagi memenangi e-baucar Lazada bernilai RM50 setiap satu.

Pemenang akan diumumkan dalam tempoh acara MSD 2020 berlangsung antara 18 hingga 23 November depan melalui laman Facebook MSD.

Seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk mengambil bahagian dalam MSD menerusi platform digital yang tersedia dan mudah dilayari dengan slogan #Laburbersama.

 

Majlis pelancaran MSD pada 19 November pula akan dihoskan Fiza Sabjahan dan akan dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berserta Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Ucapan khas melalui video daripada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga akan ditayangkan semasa acara pelancaran.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai semua peraduan dan jadual program yang lengkap, kunjungi laman web MSD di www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN