Barangan keperluan asas mencukupi, tak perlu belian panik - Utusan Malaysia

Barangan keperluan asas mencukupi, tak perlu belian panik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Barangan keperluan asas dan harian di negeri Perak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok hingga 6 Disember ini mencukupi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, semua pasar raya dan premis peruncitan dibuka dan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan kerajaan.

“Justeru, pengguna dinasihatkan untuk tidak membuat pembelian panik sebaliknya merancang pembelian barangan keperluan berdasarkan kepada keperluan sebenar.

“KPDNHEP menggalakkan pihak peniaga, pasar raya dan peruncit supaya melakukan kawalan kendiri dengan menentukan had kuantiti dan jualan barangan yang bersesuaian bagi individu atau keluarga.

“Ini bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saifullizan berkata, jaminan juga telah diberikan oleh pihak pemborong dan pemain industri utama peruncitan dalam negara seperti pasar raya dan pasar raya besar bahawa segala keperluan adalah mecukupi dan mudah diperoleh.

Katanya, sebanyak 12 barangan dipantau bekalannya oleh KPDNHEP membabitkan barangan keperluan asas harian iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras, bawang, roti, ayam, telur ayam, pelitup muka, pensanitasi tangan dan sayur-sayuran.

Mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali Tahun 2020, Saifullizan berkata, walaupun perayaan itu akan disambut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, permintaan terhadap barangan tetap ada dan dijangka meningkat.

Untuk itu, katanya, mulai 9 November, KPDNHEP akan  menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan  (SHMMP) Deepavali Tahun  2020 selama sembilan hari bermula esok sehingga 17 November.

“Ia membabitkan kawalan harga 20 barangan di peringkat borong dan runcit,  antaranya ayam, telur ayam, daging kambing, kelapa, tomato, ubi kentang, bawang merah, kacang dal dan lain-lain.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan skim  ini,  peniaga dikehendaki menjual barangan yang disenaraikan tidak melebihi harga kawalan yang ditetapkan dan meletakkan tanda harga merah jambu pada barangan harga terkawal. 

“Peniaga juga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan mengaut  keuntungan yang tidak munasabah, mempamerkan harga yang mengelirukan, menyorok barang  kawalan serta menipu timbangan,” katanya.

Katanya, pengguna  dinasihatkan supaya melaporkan kepada KPDNHEP sekiranya terdapat pertanyaan atau aduan mengenai kekurangan bekalan, harga, kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan melalui saluran yang disediakan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya