PERMATANG PAUH: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri memberi jaminan barangan keperluan asas mencukupi dan tidak akan berlaku sebarang kenaikan harga khususnya menjelang sambutan Deepavali, Jumaat ini.
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pada masa sama, tidak berlaku sebarang pembelian panik hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pihaknya setakat ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
Bagaimanapun, kata Mohd. Ridzuan, terdapat sedikit peningkatan pembelian terutama dalam kalangan masyarakat India yang akan menyambut perayaan Deepavali kali ini.
“Sepanjang PKPB sehingga 6 Disember depan, kita akan terus menjalankan pemantauan harian bagi memastikan bekalan keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, alat sanitasi tangan serta penutup muka sentiasa mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kata beliau, trend pembelian ketika ini adalah normal dengan bekalan barangan di peringkat pengilang serta pemborong mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.
Sehubungan itu, katanya, pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian luar biasa semasa PKPB dan perayaan Deepavali ini.
“Kita juga menasihatkan peniaga sama ada di peringkat pengilang, pengeluar, pemborong atau peruncit supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan sepanjang tempoh ini kerana tindakan tegas akan diambil jika terbukti mereka melakukan kesalahan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ke atas pasar raya utama mendapati tidak berlaku sebarang perlanggaran SOP setakat ini.
“Pengurusan pasar raya perlu terus memastikan pengunjung memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial selain merekodkan kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual serta menjalani pemeriksaan suhu badan,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE