MELAKA: Pemasang jubin didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuai meninggalkan anjing peliharaannya sehingga menyebabkan tangan kanan seorang bayi perempuan digigit sehingga putus, September lalu.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Gan Tiong Guey, 41, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan cuai meninggalkan seekor anjing dalam milikannya sehingga menyebabkan kecederaan putus tangan kanan terhadap seorang bayi perempuan berusia tujuh hari yang juga anak saudaranya.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9 pagi di Taman Widuri Bachang pada 8 September lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya menanggung lima anak berusia sembilan hingga 20 tahun, selain ibu bayi berkenaan juga enggan memanjangkan kes tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kecederaan cacat kekal yang dialami bayi tersebut dan sebagai pengajaran kepada orang ramai.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, isteri tertuduh, Heng Chiew Lian, 39, pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan bayi tersebut pada tarikh dan lokasi yang sama.
Mengikut pertuduhan, Chiew Lian sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi sama telah mengabaikan atau mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Dia didakwa mengikut Sekyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Chiew Lian dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan mahkamah kemudian menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -UTUSAN ONLINE