MELAKA: Tidak mustahil lebih banyak pusat asuhan dan didikan kanak-kanak akan gulung tikar sekiranya industri penting itu tidak dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Presiden Persatuan Pengasuh Negeri Melaka, Kenneth William John berkata, pendapatan pusat asuhan tersebut bergantung penuh kepada bayaran yuran yang dikenakan terhadap kanak-kanak.
Beliau berkata, sekiranya tidak dibenarkan beroperasi, ada segelintir ibu bapa yang enggan menjelaskan yuran terbabit dengan alasan pusat asuhan atau didikan tidak dibuka.
“Sebab itu di Melaka kira-kira 87 pengusaha taman asuhan kanak-kanak kini menarik nafas lega apabila mereka dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang PKPB dengan syarat mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sekiranya tidak dibenarkan mungkin lebih banyak lagi yang akan gulung tikar, namun kita tidak juga menyalahkan ibu bapa yang enggan bayar kerana mereka mungkin fikir buat apa hendak bayar kalau tak beroperasi.
“Tetapi, sebenarnya bayaran itu penting untuk mengekalkan operasi taska dan tadika kerana kita tetap perlu bayar sewa premis, gaji kakitangan dan juga utiliti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Isnin lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) memutuskan taska berdaftar boleh beroperasi seperti biasa sepanjang PKPB dengan syarat perlu memohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Sehubungan itu, Kenneth berharap kerajaan dapat memberi lebih perhatian bagi membantu sektor pendidikan awal kanak-kanak bagi membolehkan mereka menyediakan pusat asuhan dan didikan yang berkualiti tinggi.
“Mungkin kerajaan boleh melihat program-program berkaitan disamping bantuan sebanyak RM5,000 yang diberikan kepada kami sebelum ini walaupun sebenarnya kerugian akibat tidak beroperasi lebih tinggi.
“Kepentingan sektor pendidikan awal kanak-kanak kini sudah tinggi apatah lagi ibu bapa juga rasa lebih selamat apabila menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan berbanding menghantar ke pusat tidak berdaftar,” katanya.
Sementara itu, pengusaha Taska Iman Mutiara di Taman Nirwana, Noramizah Ahmad berkata, sejak Covid-19 melanda, ramai pengusaha yang terkesan apabila perniagaan mula merudum dan ada yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu lagi menanggung kos yang tinggi.
Justeru, apabila dibenarkan beroperasi, dia yang sudah 12 tahun mengusahakan taska tidak menunggu lama untuk membuat permohonan dan beroperasi seperti biasa.
“Boleh dikatakan kebanyakan anak-anak yang dihantar ke taska ini merupakan anak petugas barisan hadapan. Jadi, bukan kami sahaja yang lega, malah ibu bapa juga gembira dengan keputusan tersebut,” katanya. – UTUSAN