JOHOR BAHRU: Terkesan dengan kesempitan hidup pekerja Malaysia yang menjadi gelandangan di Singapura, dua kumpulan sukarelawan, Projek Kelawoo dan Geng Rock Hantu tampil menghulurkan sumbangan baru-baru ini.
Inisiatif itu bertujuan meringankan bebanan rakyat Malaysia yang kini terpaksa menetap dan bekerja di republik itu.
Menurut wakil kumpulan yang mahu dikenali sebagai Aridz, kebanyakan mereka bukan ingin tidur atau tinggal di tepi jalan sebaliknya tiada pilihan ekoran kos sara hidup di Singapura terlalu tinggi.
“Kita ada dengar tentang rakyat Malaysia yang tiada rumah dan tempat tinggal terpaksa tidur di tempat-tempat awam sebab mereka tidak mampu menyewa. Ini memang benar.
“Mereka terpaksa berteduh di tempat awam sekitar Singapura seperti di Stesen MRT, stesen bas dan lain-lain tempat yang dirasakan selamat untuk bermalam.
“Jadi, saya serta beberapa rakan berasa terpanggil untuk memberikan makanan serta sedikit bantuan berbentuk wang tunai kepada mereka bagi meringankan beban pada malam 31 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Kedua-dua kumpulan juga merupakan antara ribuan pekerja Malaysia yang terkandas di negara itu, namun mereka bernasib baik kerana mempunyai sedikit kemampuan.
Menurut Aridz , antara bantuan lain yang dihulurkan adalah pek makanan selain barang keperluan asas seperti ubat gigi, sabun serta makanan ringan.
“Kita memang sengaja memilih waktu lewat malam untuk menjejaki mereka kerana waktu siang kebanyakan mereka bekerja.
“Namun apa yang lebih menyedihkan, pada malam itu kita tak jumpa ramai sebab pihak berkuasa tempatan Singapura sudah mula menghalau mereka daripada berteduh atau tidur di tempat awam,” katanya.
Katanya lagi, rata-rata rakyat Malaysia terpaksa menjadi gelandangan di sana berikutan gaji yang rendah dan kos menyewa rumah atau bilik yang agak tinggi.
“Kos sewa bilik sahaja boleh mencecah sehingga SG$800 (RM2,432) sebulan dan kos sewa rumah paling rendah adalah SG$1500 (RM4,560).
“Mereka juga perlu menghantar sebahagian wang gaji bulanan kepada keluarga di Malaysia selain perlu menyimpan sedikit wang saku untuk kegunaan seharian di Singapura seperti membeli makanan serta tambang pengangkutan awam.
“Dengan gaji sebanyak paling kurang SG$900 (RM2,736) sebulan, mereka tidak mampu menyewa rumah mahupun bilik di sana,” katanya.- UTUSAN ONLINE