KEMAMAN: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Chukai terpaksa mengambil masa lebih sejam bagi memujuk seorang warga emas di Kampung Felda Seberang Tayor di sini untuk berpindah selepas kediamannya dinaiki air lewat petang semalam.
Wanita berusia dalam lingkungan 70-an yang uzur dan tidak mampu berjalan sendiri itu pada awalnya berkeras tidak mahu ke pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun beberapa anggota dan pegawai Bomba telah menunggu serta memujuknya.
Bagaimanapun, pendekatan berhemah yang digunakan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat kawasan itu, Mohd. Zailani Abdullah berjaya melembutkan hati mangsa untuk menaiki bot sebelum dibawa dengan pacuan empat roda ke PPS dewan serbaguna kampung tersebut dengan ditemani seorang anaknya, kira-kira pukul 7 malam.
Mohd. Zailani berkata, pihaknya sudah lali dengan kerenah masyarakat setempat yang enggan berpindah dengan alasan telah terbiasa dengan situasi banjir.
“Warga emas itu enggan mengikut kami berpindah sedangkan keadaan itu sangat berbahaya kerana rumahnya sudah ditenggelami air sedalam hampir satu meter.
“Keutamaan kami adalah nyawa penduduk jadi kita akan menggunakan pendekatan sebaik mungkin untuk meminta mereka berpindah,” katanya kepada pemberita di sini.
Dalam operasi sama di kampung itu, bomba turut memindahkan seorang lelaki yang lumpuh, Baharun Mohamed, 42, dan warga emas yang terlantar, Mamat Ismail, 81, menggunakan lori berikutan terpaksa membawa katil khas yang menempatkan mereka. – UTUSAN ONLINE