BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki golongan kurang upaya (OKU) dan dua kanak-kanak diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap di dalam rumah akibat banjir kilat di sini malam tadi.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kedua-dua kejadian itu kira-kira pukul 10.40 malam tadi.
Katanya, mangsa lelaki OKU diselamatkan di rumah keluarganya di Taman Jambu, Jalan Bukit Teh di sini manakala dua kanak-kanak berkenaan pula diselamatkan di rumah pengasuh mereka di Kampung Berangan Sembilan dekat sini.
“Rumah mereka dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter akibat limpahan sungai ekoran hujan lebat sejak petang semalam.
“Kesemua mereka dibawa ke tempat selamat namun dibenarkan pulang semula ke rumah kira-kira pukul 12 tengah malam tadi selepas air mulai surut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi itu dijalankan oleh anggota bomba dari Balai Bukit Mertajam dan Bandar Perda yang turut memantau situasi banjir di kawasan berkenaan sehingga lewat malam tadi ekoran hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Dalam pada itu, beberapa kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) juga dilaporkan terjejas dengan banjir kilat ekoran hujan lebat malam tadi.
Difahamkan terdapat beberapa buah rumah di kawasan itu dinaiki air sehingga satu meter dengan beberapa penduduk terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat tengah malam tadi.
Bagaimanapun, keadaan banjir semakin reda dan air mulai surut pagi ini dengan penduduk sudah mula pulang ke rumah masing-masing. – UTUSAN