KULIM: Suasana di khemah saringan kecemasan dan saringan Covid-19 Hospital Kulim di sini kelam-kabut apabila berlaku banjir kilat dipercayai berpunca daripada limpahan air longkang petang tadi.
Wad itu didirikan di kawasan letak kereta di hadapan wad kecemasan hospital tersebut.
Menurut sumber, hujan lebat selama dua jam bermula pukul 4 petang menyebabkan aliran air hujan dari kawasan bukit berdekatan memenuhi longkang sehingga berlaku banjir kilat.
Difahamkan ketika kejadian terdapat beberapa pesakit berada di wad itu.
“Paras air meningkat sehingga mencecah 0.5 meter di dalam wad kecemasan sementara itu. Bagaimanapun air tidak melimpah ke dalam wad kecemasan dalam bangunan hospital itu,” katanya di sini malam ini.
Sumber itu memberitahu, banjir kilat itu surut kira-kira 15 minit kemudian.
Banjir kilat juga berlaku di beberapa kawasan di daerah ini seperti Mukim Padang Cina, Mukim Karangan dan Mukim Kulim.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohd. Fikri Ujang berkata, kawasan tersebut telah dibersihkan dan bersedia untuk menerima pesakit.
“Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE