JOHOR BAHRU : Keselesaan 146 penduduk di Kampung Sungai Rinting D, Taman Rinting selama hampir 20 tahun terjejas setelah kawasan mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat minggu lepas.
Ketua Kampung Kuala Masai, Ramdhan Saian berkata masalah banjir hingga menyebabkan kediaman mereka ditenggelami air hingga ke paras pinggang berpunca daripada tebing penahan Sungai Rinting berhampiran kediaman runtuh.
Katanya, perkara itu menyebabkan saliran air menjadi sempit dan tersebut hingga menyebabkan air melimpah dan menjejaskan tempat tinggal penduduk berhampiran.
“Pada 21 November lalu, banjir kilat paling buruk berlaku di kampung ini menyebabkan rumah penghuni berdekatan dinaiki air setinggi satu meter. Kali terakhir penduduk berdepan isu banjir pada 20 tahun lepas ketika kerja menambah baik sistem saliran dibuat.
“Tinjauan penduduk mendapati punca banjir ini berlaku setelah tembok batu penghadang tebing sungai ini telah runtuh kedua belah kiri dan kanan.
“Runtuhan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu semakin teruk menyebabkan saliran air semakin sempit sehingga menyekat aliran ketika berlaku hujan. Sebab itu air melimpah ke tebing kerana tidak dapat mengalir dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang meninjau lokasi kejadian di di Kampung Sungai Rinting D, di sini hari ini.
Sementara itu, Hassan berkata pihaknya telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat tindakan jangka pendek selain memikirkan pelan membaik pulih bagi jangka masa panjang.
Katanya bagi proses jangka pendek, sisa runtuhan dan tanah itu akan dikorek bagi memastikan aliran air tidak tersekat lagi.
Jelasnya, langkah segera perlu diambil bagi memastikan kejadian banjir tidak berlarutan yang boleh memberi kesan kepada berlaku banjir di Lebuhraya Pasir Gudang yang terletak tidak jauh dari kawasan berkenaan.
“Memandangkan kos bagi pelan jangka panjang melibatkan kos yang tinggi, perlu dibuat dahulu tindakan jangka pendek itu. Jika tidak, berkemungkinan Lebuh Raya Pasir Gudang akan ditenggelami banjir lagi dan memerlukan kos lebih besar bagi membaik pulih infrastruktur itu,” katanya.
Beliau turut meminta pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) untuk menyiasat binaan bengkel di kawasan berdekatan di kawasan tebing runtuh ini yang mungkin menjadi punca perkara itu berlaku. -UTUSAN ONLINE