Banjir bukan pesta, pantau keselamatan anak  - Utusan Malaysia

Banjir bukan pesta, pantau keselamatan anak 

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ibu bapa yang tinggal di kawasan berisiko mengalami banjir di beberapa daerah di negeri Perak dinasihatkan supaya sentiasa memantau keselamatan ahli keluarga bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keluarga yang tinggal di kawasan berisiko juga perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan mematuhi nasihat pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah. 

“Justeru, orang ramai dinasihatkan bersiap sedia dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan melalui media sosial dan media massa.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua bahawa banjir bukanlah satu pesta untuk bermain air, saya menyeru ibu bapa untuk terus memantau keselamatan ahli keluarga khususnya anak-anak kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video yang dimuatnaik dalam laman rasmi facebook Ahmad Faizal Azumu hari ini.

Ahmad Faizal berkata, ketika ini semua Jawatankuasa Bencana Daerah dan agensi terlibat di seluruh Perak sentiasa dalam keadaan siap siaga. 

Katanya, bantuan kepada mangsa yang terlibat akan diselaraskan melalui Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kerajaan negeri turut mengalu-alukan bantuan daripada pihak korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang ingin turut sama menyumbang barangan keperluan asas mahupun wang ringgit bagi sama-sama membantu meringankan beban mangsa banjir.

“Sumbangan barangan keperluan asas boleh dibuat melalui Pejabat Daerah manakala sumbangan wang boleh dibuat terus kepada Tabung Bencana Negeri,” katanya.

Katanya, langkah menyelaraskan bantuan itu perlu dilakukan bagi meminimumkan pergerakan orang awam bagi mengalak penularan Covid-19 dan  selaras dengan matlamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasa. 

“Dalam kita berdepan dengan musibah banjir ini, harus saya ingatkan di sini agar semua mangsa banjir dan petugas pengurusan bencana untuk tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi  standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Hari ini kita dapati sebahagian daripada kita semakin alpa dan memandang ringan terhadap wabak yang mengancam nyawa. 

“Kita faham bahawa ekonomi perlu terus dijana, namun, ianya mestilah dilakukan dengan penuh bertanggungjawab,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya