HULU TERENGGANU: Walaupun kedainya dinaiki air kira-kira 0.3 meter tetapi itu bukan halangan untuk seorang peniaga kedai runcit dan makanan pagi di Kampung Nibong di sini meneruskan perniagaan.
Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 45, berkata, tindakannya membuka kedai itu bertujuan memudahkan penduduk kampung mendapatkan barangan keperluan di samping memberi pendapatan kepada 10 pengusaha kuih yang menghantar makanan di kedainya.
Katanya, limpahan Sungai Telemong menyebabkan premisnya mula dinaiki air kira-kira pukul 7 pagi ini ketika beberapa pelanggan menikmati sarapan.
“Kami sudah biasa dengan keadaan ini kerana saban tahun berdepan banjir dan perniagaan tetap diteruskan selagi paras air dirasakan selamat.
“Orang kampung pun masih keluar mendapatkan makanan pagi dan barangan keperluan seperti kerana untuk ke bandar agak sukar kerana ada laluam yang dinaiki air,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Engku Hasmah, sepanjang lima tahun berniaga dia bersyukur kerana tidak pernah mengalami kerugian teruk akibat banjir berikutan sempat menyelamatkan barangan ke tempat tinggi.
Dia yang tinggal bersama lapan ahli keluarga memberitahu akan segera mengalihkan barangan ke tempat selamat jika air sungai yang terletak beberapa meter di belakang rumah mulai melimpah. -UTUSAN ONLINE