`Balkish bantu mak cik dunia, akhirat’ - Utusan Malaysia

`Balkish bantu mak cik dunia, akhirat’

Mohd Redza Shah Abdul Wahid (kanan) menyampaikan replika cek kepada Salamah Sitam dalam Program Ziarah di Taman Ria, Tampin hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: “Setiap apa keperluan mak cik, Balkish akan segera penuhi, malah dia bantu mak cik dunia, akhirat,” luah Salamah Sitam, 68, ibu kepada Allahyarham Nur Zalehan Balkish Abdul Majid, 27, yang meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya di hempap pokok getah, pada 10 November lalu.

Menurut Salamah, jasa anak bongsunya itu yang bekerja sebagai Pembantu Pengurus YaPEIM Cawangan Gemenche tiada tandingan baginya hinggakan masih mendapat bantuan daripada arwah anaknya itu sehingga akhir hayat.

“Duit tidak dapat ganti nyawa tapi melalui duit yang mak cik dapat daripada caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Balkish ini, mak cik akan segera buatkan upah umrah, haji dan juga sumbangkan kepada golongan memerlukan.

“Mak cik sendiri tidak tahu Balkish ada mendaftar untuk menunaikan haji dan hanya mengetahuinya apabila pergi berurusan di Tabung Haji bagi urusan berkenaan,” luahnya.

Dia ditemui sempena Program Ziarah oleh pihak Perkeso dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Taman Ria, dekat sini, hari ini.

Hadir pada program tersebut ialah, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid; Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan; Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias dan Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Mokhtar Ahmad.

Pada 10 November lalu, Nur Zalehan Balkish yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya meninggal dunia selepas kereta dipandunya dihempap pokok getah dalam kejadian di Kilometer Lima, Jalan Keru-Batu Belang dekat sini.

Sementara itu, Fuad berkata, pihaknya menerusi Skuad Perkeso Prihatin telah mengambil tindakan segera selepas mendapat maklumat mengenai kematian Nur Zalehan Balkish.

Menurutnya, semakan telah dibuat dan waris layak mendapat faedah dari Perkeso iaitu berupa Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM785.99 yang akan diberikan pada ibu mangsa pada setiap bulan.

“FOT ini merupakan salah satu faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial 1969. Skim ini memberi perlindungan kepada pekerja daripada kecederaan atau kematian akibat dari sebarang kemalangan yang berkaitan dengan pekerjaan.

“Faedah Pengurusan Mayat pula adalah amaun yang dibayar kepada waris sekiranya meninggal duia akibat daripada bencana kerja,” katanya.

Menurutnya lagi, untuk tahun ini sahaja sehingga Oktober lalu, Perkeso Negeri Sembilan telah menyalurkan bayaran sebanyak RM1.118 juta bagi Faedah Pengurusan Mayat membabitkan sebanyak 593 kes di negeri ini.

“Bagi pembayaran faedah Pencen Penakat (PKT) pula sebanyak 398 kes dicatatkan di negeri ini membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM682,423,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya