Bakal penyewa kecewa PPR Klebang masih terbengkalai 

Bakal penyewa kecewa PPR Klebang masih terbengkalai 

MOHD. Yusof Abu Hassan (depan, kanan) bersama bakal penyewa PPR Klebang di hadapan perumahan itu yang masih terbengkalai di Klebang, Melaka. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Impian untuk tinggal di rumah yang selesa dan paling penting berkemampuan dari segi bayaran bulanan masih menjadi tanda tanya dalam kalangan penduduk yang menerima tawaran menghuni 240 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang, di sini.

Berdasarkan papan tanda projek di tapak perumahan itu, kediaman berkonsep sewa beli tersebut sepatutnya siap pada 14 Oktober 2018, namun sehingga ke hari ini belum nampak tanda-tanda penghuni boleh mengambil kunci rumah mereka.

Malah, difahamkan kerja-kerja bahagian dalaman PPR tersebut masih banyak yang perlu diselesaikan meskipun sebahagian luar bangunan tersebut sudah dicat dengan warna putih, merah, biru dan kelabu.

Seorang bakal penyewa, Sarimah Khairuddin, 54, berkata, dia sendiri ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila rumah tersebut masih belum dapat didiami selain tidak lagi bekerja ekoran pengecilan operasi di kilang tempatnya mencari rezeki dahulu.

“Saya sudah lama tunggu ada atau tidak rumah ini pun saya tak pasti, apabila tanya pejabat perumahan nama memang sudah ada tetapi rumah belum juga siap.

“Sekurang-kurangnya beritahu perkembangan semasa agar kami tidak tertunggu-tunggu macam buah tak gugur. Kalau mampu kami tak akan tunggu rumah kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Redzuan Hassan, 41, berkata, dia telah ditemu duga untuk menyewa di PPR tersebut sejak lima tahun lalu iaitu sebelum projek itu bermula pada awal 2016, namun sehingga ke hari ini turut menunggu jawapan bila ia akan siap.

Dia yang kini menyewa berharap projek tersebut dapat disiapkan segera agar mereka dapat mendiaminya yang secara tidak langsung mampu mengurangkan bebanan perbelanjaan setiap bulan.

Bagi Faridah Mamat, 60, yang kini tinggal bersama lapan orang anak di rumah pusaka berkata, dia sering berulang-alik melihat PPR tersebut pada setiap petang dengan harapan mereka akan segera mendapat kunci kediaman masing-masing.

“Rasa seronok bila tengok rumah sudah dicat walaupun hakikatnya kami tertunggu-tunggu bila akan dapat duduk kerana dengan anak yang ramai kami memerlukan rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hassan berkata, tindakan pemaju mengecat bangunan luar tersebut seolah-olah rumah hampir siap memberi harapan palsu kepada penduduk.

Katanya, masih terdapat kira-kira 20 peratus lagi bahagian dalaman perumahan itu yang perlu diselesaikan selepas kerja-kerja pembinaannya sudah tertangguh sejak sekian lama.

“Saya berharap pihak berkaitan turun padang dan terangkan sendiri kepada bakal-bakal penyewa yang sudah ditemu duga termasuk dari sekitar Klebang Besar mengapa ia belum siap dibina walaupun sudah melepasi tempoh sepatutnya,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya