SHAH ALAM: Mesyuarat Ketiga Persidangan Ketiga Dewan Negeri Selangor bertukar kecoh selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Ng Suee Lim membangkitkan isu pakaian kumpulan pembangkang.
Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan menegur Ketua Pembangkang, Rizam Ismail; ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd. Shamsudin Lias; Datuk Mohd. Imran Tamrin (ADUN Sungai Panjang); Zakaria Hanafi (ADUN Semenyih) dan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (ADUN Sijangkang) masing-masing memakai baju Melayu.
Perbalahan berkaitan kod etika berpakaian itu menarik perhatian dewan dan mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum sidang dewan dimulakan.
Dalam perbalahan tersebut, Suee Lim telah menegur kesemua wakil rakyat itu dengan mengatakan mereka melanggar peraturan ditetapkannya dalam etika berpakaian ketika sesi sidang.
“Saya telah tetapkan hari biasa perlu memakai baju long suit manakala Jumaat pula dibenarkan memakai baju Melayu.
“ADUN adalah pemimpin yang dipilih rakyat dan mereka perlulah matang. Bagaimana rakyat melihat ADUN yang mereka pilih tetapi tidak patuh pada peraturan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE