Bajet 2021 tidak boleh dibentang secara maya - Utusan Malaysia

Bajet 2021 tidak boleh dibentang secara maya

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembentangan Bajet 2021 pada Jumaat ini tidak boleh dilaksanakan secara maya walaupun demi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana ia tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 62 dan peraturan-peraturan dalam Parlimen. 

Beliau berkata, di bawah peruntukan itu, undian kepada sesuatu rang undang-undang yang dibentangkan perlu dibuat di dalam Dewan Rakyat. 

“Walaupun ada cadangan untuk melaksanakan pembentangan Bajet 2021 secara maya, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana pengundian tidak boleh dilaksanakan di luar Dewan Rakyat.

“Parlimen Australia ada melaksanakan persidangan secara maya tetapi mereka juga tidak boleh mengundi dan mencelah perbahasan. Jadi kita perlu melakukan pembentangan Bajet di dalam Parlimen supaya ia boleh diluluskan,”  katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, persidangan Parlimen akan diteruskan seperti biasa namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Katanya, ini termasuk mana-mana wakil dari Sabah mesti dikuarantin dahulu sebelum dibenarkan masuk Parlimen.

“Semua petugas dan ahli Parlimen perlu melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum memasuki Parlimen. Dua orang pegawai kepada ahli Parlimen sahaja dibenarkan masuk dan ia tidak lagi dibuka kepada orang awam.

“Jangka masa berada di Parlimen dan waktu persidangan disingkatkan dan jumlah ahli Parlimen juga dikurangkan asalkan cukup kuorum. Apa yang penting Bajet 2021 perlu diluluskan demi kepentingan rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN