PUTRAJAYA: Amerika Syarikat (AS) mengucapkan tahniah atas kejayaan Malaysia selaku tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun ini yang menyaksikan Deklarasi Kuala Lumpur diisytiharkan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sidang kemuncak itu juga turut menjadi platform pelancaran Visi Putrajaya 2040 yang bakal menjadi aspirasi baharu kepada komuniti APEC bagi pertumbuhan ekonomi serantau dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Katanya, perkara itu disampaikan melalui Kamala Shirin Lakhdhir dalam pertemuan Duta Besar AS ke Malaysia itu di pejabat beliau di bangunan Parlimen, semalam.
“Melalui Kamala, saya juga menyampaikan penghargaan kerajaan selaku hos APEC 2020 kepada Presiden Donald Trump atas penglibatan beliau mewakili AS pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Ekonomi APEC yang telah berlangsung secara maya pada 20 November lalu,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Muhyiddin berkata, dalam pertemuan itu juga, Kamala berkongsi mengenai perkembangan terkini beberapa vaksin Covid-19 keluaran syarikat bioteknologi dan farmaseutikal AS yang sedang melalui proses ujian dan kelulusan Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA).
Dalam hal itu, Perdana Menteri menyambut baik perkembangan tersebut sekali gus menzahirkan harapan agar akses kepada vaksin dibuat secara adil dan saksama apabila dilancarkan kelak.
“Selain itu, perbincangan kami juga tertumpu kepada beberapa hal berkaitan mempertingkat kerjasama dua hala termasuk bidang perdagangan, pelaburan, kewangan dan pendidikan serta isu-isu geopolitik serantau dan keselamatan antarabangsa.
“Saya menzahirkan harapan agar hubungan Malaysia dan AS yang terjalin sekian lama dapat diperkukuhkan lagi pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE