LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis berjaya mengusir bot nelayan asing dari Thailand yang dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 2.7 batu nautika utara Pulau Langgun di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, sejurus menerima aduan, bot Petir APMM yang sedang menjalankan Op Benteng digerakkan ke lokasi pencerobohan tersebut.
Menurutnya, bot nelayan itu kemudian berjaya dipintas dan ditahan sebelum diusir keluar pada pukul 11 pagi.
“Apabila menyedari kehadiran bot peronda APMM, dua daripada tiga bot nelayan tersebut segera meninggalkan perairan negara, manakala sebuah bot berjaya dipintas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, bot yang ditahan itu merupakan bot tradisional Thailand dan dikendalikan oleh tiga orang nelayan warga negara tersebut.
Menurutnya, bot nelayan berkenaan didapati membawa beberapa peralatan menangkap ikan jenis pukat karang dan hasil tangkapan udang kara dianggarkan seberat dua kilogram.
“Nelayan dan bot tersebut kemudian diusir keluar dari perairan negara sejajar dengan situasi semasa bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.
Tambahnya, APMM menyeru semua pihak yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan dan aktiviti jenayah di laut boleh membuat laporan melalui talian MERS 999 atau menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau 04-9665307. – UTUSAN