APM NS sedia hadapi air pasang, banjir  - Utusan Malaysia

APM NS sedia hadapi air pasang, banjir 

FAZLISYAH MUSLIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 300 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku fenomena air pasang besar di kawasan berisiko banjir di negeri ini. 

Pengarah APM Negeri Sembilan, Fazlisyah Muslim berkata, terdapat kejadian air pasang hari ini di Port Dickson namun ia tidak terlalu ketara. 

“Namun, kami terus memantau jika terdapat hujan yang boleh menyebabkan banjir yang turut disumbang oleh faktor air pasang. 

“Secara keseluruhannya, 300 anggota di negeri ini telah bersiap sedia di seluruh kawasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir atau bencana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Fazlisyah, sebanyak 30 bot pelbagai saiz termasuk 10 lori muatan lima tan di seluruh negeri juga telah bersiap sedia untuk sebarang bencana yang berlaku. 

Katanya lagi, terdapat lima kawasan berisiko di negeri ini yang dikategorikan sebagai kawasan panas. 

“Antara kawasan berisiko iaitu rumah-rumah di kawasan rendah di kampung-kampung berhampiran muara Sungai Linggi, Sungai Lukut, Sungai Jimah, Sungai Raya dan Sungai Pasir Panjang di sini,” katanya. 

Fazlisyah turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti laut terutama ketika fenomena air pasang. 

“Kami berharap rumah penduduk yang pernah terjadi banjir agar berjaga-jaga terutama jika berlaku hujan lebat yang berpanjangan dan jangan benarkan anak-anak ke pantai atau ke kawasan berisiko. 

“Sila hubungi APM atau pihak berkuasa jika berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya