PUTRAJAYA: Setelah lebih 20 tahun bersiaran secara eksklusif di RTM, siri drama televisyen popular Gerak Khas bakal tampil musim akhir di stesen swasta TV3 mulai 4 Disember ini.
Pertukaran saluran itu turut menjadi perbualan dalam kalangan netizen tempatan setelah tular ‘trailer’ drama kepolisan tersebut disiarkan menerusi stesen berkenaan sejak Khamis lepas.
Ada pengguna media sosial meluahkan rasa marah dengan perubahan secara tiba-tiba itu selain ramai kehairanan mempersoalkan apakah motif TV3 pula menyiarkan drama tersebut.
“Apasal TV3 ambil Gerak Khas ni final pula tu. Selama ni bercinta RTM. Ternyata kalau bercinta lama pun dah tiada jodoh tidak kahwin juga,” ciap Irfan_newboys menerusi Twitter.
Ramai netizen turut mengulas isu berkenaan setelah TV3 mempromosikan drama itu melalui platform media sosial yang memaparkan sedutan sebahagian aksi musim akhir Gerak Khas.
Pentadbir stesen itu menulis kapsyen: “Akan datang! Nantikan #GerakKhasTheFinale akan bersiaran di TV3! Mesti ramai tak sabarkan nak layan. #DramaSangat #DramaTV3.”
Tidak kurang juga ada netizen menyindir perubahan mengejut daripada RTM kepada stesen popular di bawah Media Prima Berhad itu kerana episod drama itu yang terlalu panjang.
“Punya la marah TV3 kat RTM, dia cakap macam ni ‘bak sini aku habiskan, kau buat dah beribu episod tak habis-habis lagi,” ciap netizen dikenali sebagai ajibtoo dalam akaun Twitter.
Kenyataan tersebut ada benarnya kerana Gerak Khas pernah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai siri drama televisyen paling lama bersiaran di negara ini pada 2009 lalu.
Gerak Khas mula ke udara pada 5 April 1999 menerusi TV1 sebelum ke TV2 pada 2006 dan diterbitkan syarikat Skop Productions Sdn. Bhd. Yang ditubuhkan oleh Datuk Yusof Haslam.
Barisan pelakonnya juga beberapa kali silih berganti kecuali Yusof sendiri sebagai DCP Datuk Helmi serta A. Galak, Farid Amirul, Deen Maidin, Abby Abady dan ACP Shaharon Anuar.
Drama berdurasi 45 minit itu sudah pun menjangkau 1,026 episod dengan format gambar daripada visual 576i definisi standard kepada 1080i definisi tinggi serta audio dolby digital.
Ia berdasarkan kejayaan drama bersiri sebelum itu, Remang-Remang Kota Raya disiar pada 1984, malah Gerak Khas pernah diadaptasi kepada tiga filem pada 2001, 2002 dan 2005.-UTUSAN ONLINE