KUANTAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) berharap pihak SME Bank dapat melonggarkan syarat pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membolehkan entiti koperasi turut sama berpeluang mendapat bantuan modal perniagaan.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ini kerana koperasi turut menjalankan aktiviti perniagaan PKS walaupun tidak berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Antara syarat memohon bantuan pinjaman pembangunan perniagaan daripada SME Bank ialah PKS mesti berdaftar di bawah SSM.
“Bagi koperasi, mereka tidak berdaftar dengan SSM tetapi disyaratkan mendaftar bawah Angkasa dan mereka juga menjalankan perniagaan seperti PKS. Disebabkan itu, koperasi tidak layak memohon bantuan pembangunan perniagaan PKS dan kita berharap syarat itu dilonggarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja dan perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang bagi memajukan koperasi Orang Asli di negeri ini di sini hari ini.
Menurut Abdul Fattah, kelonggaran syarat perlu memandangkan entiti koperasi mampu menjana pendapatan nasional serta menyumbang RM4 bilion kepada pertumbuhan kadar dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu.
“Selain itu Angkasa juga berasakan peruntukan RM6.3 juta yang diperuntukkan kerajaan kepada pembangunan koperasi melalui belanjawan tahun depan adalah sedikit berbanding jumlah 14,000 koperasi yang ada di Malaysia.
“Sebelum ini kita ada bajet RM100 juta untuk tabung modal pusingan tetapi untuk tahun depan tidak ada. Oleh itu kita harap syarat bantuan PKS ini dapat dilonggarkan supaya koperasi-koperasi dapat membangunkan perniagaan mereka,” tambahnya.
Katanya, hasrat kerajaan untuk memajukan koperasi melalui Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (Transkom) juga sukar dilaksanakan sekiranya mengalami kesukaran mengembangkan perniagaan. – UTUSAN ONLINE