JOHOR BAHRU: Seorang bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya disahkan positif Covid-19 setelah dia dikesan mendapat jangkitan daripada ibu mentuanya yang tinggal serumah dalam kluster Kobena.
Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahya Madis berkata, semua anggota di balai berkenaan perlu menjalani kuarantin di rumah atas nasihat Jabatan Kesihatan Daerah.
“Namun begitu operasi di BBP Johor Jaya masih berjalan seperti biasa dan kawasan peralatan di balai bomba itu telah dilakukan sanitasi. Oleh itu, anggota di balai bomba berdekatan telah disusun untuk bertugas di BBP Johor Jaya.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor sentiasa menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di balai bomba dan tempat operasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Yahya, setakat ini tiada anggota-anggota bomba Johor yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja.
“Sehingga hari ini tiga anggota JBPM Johor yang dijangkiti virus itu setelah mendapat jangkitan di tempat tinggal mereka,” katanya.
Pada Selasa lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengesan kewujudan Kluster Kobena yang membabitkan daerah Johor Bahru.
Kes indeks Kluster Kobena adalah kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif Covid-19 minggu lalu.-UTUSAN ONLINE