GERIK: “Ini yang mampu saya lakukan untuk bapa pada hari terakhirnya’.
Itu kata anak sulung Allahyarham Datuk Hasbullah Osman, Mohd. Haris Helmi, 34, yang mengimamkan solat jenazah bapanya di Masjid Jamek Gerik di sini hari ini.
Menurutnya, bapanya tiada berpesan agar dia sebagai anak sulung mengimamkan solat jenazah jika bapanya meninggal dunia.
Katanya, apa yang dilakukannya adalah tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap bapanya.
“Bapa tak ada berpesan minta disolatkan (solat jenazah), cuma saya sebagai anak, saya mahu buat yang terbaik untuk dia.
“Saya tak mampu nak berdoa panjang-panjang untuk dia tapi sekurang-kurangnya saya dapat buat sesuatu yang bagus dihujung-hujung perjalanan hidupnya di dunia ini.
“Saya bukan sempurna, dia yang membanggakan saya bukan saya yang membanggakan dia. Sekurang-kurangnya saya buat satu benda yang baik untuk dia, saya rasa lega,” katanya.
Dia ditemui selepas pengebumian jenazah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang di sini hari ini.
Menurut Mohd. Haris Helmi, bapanya seorang yang tegas tetapi penyayang walaupun agak kurang bercakap.
Katanya, bapanya sangat mengambil berat tentang keluarga dan orang ramai malah kumpulan WhatsApp ahli keluarganya, bapanya tidak banyak interaksi kecuali kalau benda penting.
“Sikapnya itu memang ramai yang tahu, lebih-lebih lagi penduduk Gerik, tapi dalam masa sama kalau sesiapa ada masalah memang arwah ayah akan usaha untuk tolong,” katanya. -UTUSAN ONLINE