Ambil iktibar tragedi tanah runtuh 2015 - Utusan Malaysia

Ambil iktibar tragedi tanah runtuh 2015

KAWASAN laluan balak dibuat yang didakwa tidak mengikut SOP ditetapkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Tragedi tanah runtuh yang membawa lumpur pada 11 November 2015 di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) seharusnya dijadikan iktibar dan pengajaran oleh semua pihak supaya menghentikan segala aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Lipur Lentang di sini. 

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, berdasarkan kepada tinjauan yang dilakukan melalui dron menyaksikan laluan balak berkenaan telah dibuat sehingga ke kawasan berhampiran kawasan air terjun di situ.

Ujarnya, jalan-jalan balak berkenaan juga didapati tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti tidak mematuhi SOP kecerunan yang tidak boleh melebihi kecerunan 35 darjah.

“Sepatutnya sebagai pihak yang bertanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengambil iktibar kejadian tanah runtuh sebelum ini dan memastikan ia tidak berulang lagi yang bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian tetapi kemalangan jiwa,” katanya pada majlis dialog Kemusnahan Sungai Kenui di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan ADUN Bilut, Lee Chin Chen.

Baru-baru ini tular dalam media sosial pertengkaran antara Shariffa Sabrina dengan seorang lelaki susulan kemusnahan Sungai Kenui akibat pembukaan jalan balak berhampiran Pusat Peranginan Tanah Aina Fareena.

Susulan itu, JPNP telah mengarahkan syarikat pelesen pembalakan di kawasan berkenanan membersihkan sisa yang menjejaskan Sungai Kenui dan turut mengarahkan kerja-kerja pembersihan bagi pembinaan jalan keluar dihentikan serta merta untuk penilaian semula.  

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, tindakan JPNP membenarkan aktiviti pembalakan dilakukan semula di kawasan itu amat dikesali.

“Kerosakan yang dilakukan bagi membuat jalan balak di kawasan berhampiran lokasi tragedi 2015 lalu amat berbahaya kerana merosakkan alam sekitar dan boleh mengakibatkan tanah runtuh terutama pada musim hujan ini berulang. 

“Jadi saya akan meneruskan tindakan undang-undang kepada pelesen, kontraktor dan juga JPNP yang meluluskan lesen dan membiarkan alam sekitar dimusnahkan tanpa pemantauan apatah lagi pada musim hujan ketika ini,” katanya.

Jelasnya, beliau telah pun melantik peguam yang akan mewakilinya bagi melakukan tindakan sivil terhadap tiga pihak berkenaan. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya