KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa Belanjawan 2021 yang dirangka kerajaan telah mengabaikan hak dan keperluan masyarakat bukan bumiputera dan bukan Islam di negara ini.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, Perikatan Nasional (PN) telah gagal menghayati prinsip keadilan terhadap semua kerana belanjawan bernilai RM322.5 bilion itu menyasarkan undi dan sokongan masyarakat Melayu Islam.
Katanya, prinsip keadilan dan kasih sayang iaitu dua tunjang penting dalam Islam perlu mendasari apa jua tindakan dalam mengagihkan bantuan atau sokongan.
“Amanah amat bersetuju kerajaan memperuntukkan sejumlah wang tertentu bagi membantu sama ada orang perseorangan atau mana-mana institusi bumiputera Islam, selaras dengan golongan majoriti dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
“Sebaliknya, belanjawan ini dilihat sebagai belanjawan pilihan raya yang menyasarkan undi Melayu Islam sambil mengabaikan hak dan keperluan masyarakat lain. Sedangkan mereka juga rakyat Malaysia dan merupakan pembayar cukai kepada kerajaan Malaysia,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini. – UTUSAN ONLINE