Amah asing boleh dibawa masuk tapi bersyarat - Utusan Malaysia

Amah asing boleh dibawa masuk tapi bersyarat

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majikan yang ingin membawa masuk pekerja asing terutama pembantu rumah boleh berbuat demikian namun permohonan itu hanya dipertimbangkan secara mengikut kes.

 Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, rayuan dari pihak majikan juga perlu mematuhi segala syarat kemasukan yang telah ditetapkan oleh jabatan itu.

 “Majikan turut perlu ikut pelbagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 seperti membuat ujian saringan, kuarantin 14 hari serta menanggung kos itu,” jelasnya dalam kenyataan.  

 Beliau bagaimanapun menambah, pertimbangan kebenaran masuk tersebut boleh diberikan oleh pihak Jabatan Imigresen ke atas kes yang melibatkan kesihatan dan perkara kritikal lain.

 Pembantu rumah warga asing yang terkandas di luar negara, tetapi ada Pas Lawatan Kerja Sementara boleh memohon rayuan untuk dipertimbangkan melalui sistem My Travel Pass.

 “Jabatan Imigresen ingin menjelaskan bahawa sekatan ini dilakukan sebagai langkah kekang penularan Covid-19 selaras arahan Majlis Keselamatan Negara,” tegas Khairul Dzaimee.

 Arahan tersebut ujar beliau lagi, turut meliputi semua pembantu rumah dari luar negara termasuk Indonesia dan Filipina yang pada ketika ini turut berdepan pandemik berbahaya itu.

 Namun, beliau meminta majikan mengajukan pertanyaan lanjut melalui Sistem Pertanyaan Online jabatan tersebut di pautan http://eapp.imi.gov.my/spo jika ada sebarang kemusykilan.

 Awal Ogos lalu, Persatuan Pengamal Perubatan Kesihatan Awam Malaysia meminta pihak kerajaan dapat memberi kelonggaran bagi kemasukan ratusan ribu pembantu rumah asing.

 Dianggarkan ada hampir 400,000 permohonan secara atas talian sudah diserahkan kepada Jabatan Imigresen sejak awal tahun ini oleh pekerja terbabit yang gagal memasuki Malaysia.

 Ia susulan banyak negara Asia terutama Hong Kong, Taiwan dan Singapura telah pun mula membenarkan pembantu rumah warga asing masuk tetapi dengan syarat yang agak ketat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN