JOHOR BAHRU: Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Alzafny memegang jawatan tersebut bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Razimi Ahmad, 59, yang dilantik menjadi Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu.
Alzafny, 44, sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Risikan, Operasi, Rekod JSJ Bukit Aman sejak 2019.
Beliau yang memiliki ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Oktober 2000.
Antara jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Selangor pada 2016, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (risikan/operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 2017.
Majlis serah terima tugas antara Razimi dan Alzafny disaksikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di IPK Johor hari ini.
Dalam ucapannya, Ayob Khan berkata, pelantikan akan berupaya mengorak langkah ke arah kecemerlangan perkhidmatan seterusnya mencapai visi dan misi PDRM.
Dalam masa yang sama, Ayob Khan juga menghargai usaha Razimi yang selama ini mudah bekerjasama dan menunjukkan komitmen tinggi dengan kejayaan menurunkan kadar indeks jenayah di negeri ini.
“Justeru itu saya mengharapkan trend penurunan ini akan berterusan pada masa-masa akan datang,” katanya. – UTUSAN